BATU PAHAT, 15 Sept – 2 kru bot nelayan selamat, manakala 2 lagi masih hilang, selepas bot dinaiki karam dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang semalam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat.
Susulan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua kru tersebut di sekitar kawasan berkenaan.
Pengarah APMM Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, kejadian berlaku ketika bot berada di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam, akibat cuaca buruk dan ombak besar, menyebabkan bot terbalik sebelum karam.
“Mangsa, Te Chia Haur, 40 tahun serta Tee Kian Muar, 33 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot,
“Mangsa kemudian diselamatkan nelayan tempatan yang berada berdekatan,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, 2 lagi mangsa yang hilang, Te Chia Rong, 38 tahun dan Chia Hock Neng, 60 tahun dilaporkan tidak sempat menyelamatkan diri, dipercayai sedang tidur semasa kejadian.
Mohd Haniff menjelaskan, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op CARILAMAT pada jam 8 malam dan Bot Kilat 47 dari APMM Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang selamat telah dipindahkan ke bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti Zon APMM Batu Pahat untuk diserahkan kepada Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail, untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa,” ujarnya.
Tambahnya, Op CARILAMAT bagi 2 kru bot nelayan yang masih belum ditemui itu diteruskan hari ini dengan tambahan aset dan anggota dari APMM serta dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). -airtimes.my