Home Semasa ‘Saya telah arahkan KKM beri rawatan terbaik kepada Najib’ – Ismail Sabri

‘Saya telah arahkan KKM beri rawatan terbaik kepada Najib’ – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi arahan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberi rawatan terbaik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismail Sabri menerusi hantaran di media sosialnya semalam turut mendoakan agar Najib diberi kesembuhan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak,

“Saya telah mengarahkan KKM supaya memberikan rawatan yang terbaik diperlukan beliau. Saya doakan beliau diberikan kesembuhan,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Khas Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi memaklumkan tekanan darah Najib dilaporkan berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9 September lalu sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan optimum.

“Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan bagi bidang masing-masing,

“Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga sebanyak 2 kali yang telah dihadiri oleh Najib dan ahli keluarganya serta keputusan ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan professional kedoktoran,” ujarnya.

Noor Hisham berkata, pada sidang itu juga mereka telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar Najib dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL.

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM,

“Keadaan Najib juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply