Home Semasa Usaha kesan Jho Low masih giat dijalankan – KPN

Usaha kesan Jho Low masih giat dijalankan – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, masih giat dijalankan termasuklah meneliti kesahihan segala maklumat yang diterima berhubung keberadaannya di negara asing.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan, PDRM tetap komited dalam usaha mengesan dan membawa balik ahli perniagaan, Jho Low untuk dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, pihaknya telah memohon dan memperolehi ‘red notice’ (individu dalam buruan berdepan pendakwaan) daripada Interpol terhadap Jho Low, pada 2018.

“‘Red notice’ tersebut adalah jenis kategori yang hanya boleh diakses agensi penguatkuasa negara ahli Interpol memandangkan suspek berkenaan tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian pihak Interpol,

“Ia turut dikeluarkan oleh Interpol kepada 195 negara ahli sebagai makluman dan mendapatkan bantuan maklumat mengenai keberadaan penjenayah buruan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, Interpol negara itu bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh ‘red notice’ bagi proses permohonan ekstradisi.

“Setakat ini, permohonan ekstradisi ke atas Jho Low tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaannya di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan ke atas Jho Low, dan kedua-dua negara itu telah memfailkan pertuduhan kepadanya.

Katanya, polis juga sudah memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya membabitkan 1MDB.

“Kami amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low untuk menyalurkannya melalui talian infoline CCID atau di mana-mana balai polis yang berhampiran.” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, Acryl mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Jho Low supaya menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di +60132111222 (Whatsapp) atau balai polis berhampiran.

Baru-baru ini, wartawan Tom Wright dan Bradley Hope mendakwa Jho Low dan keluarganya dilihat berada di luar negara pada 2018 dan 2019.

Malah, mereka turut menjelaskan mempunyai banyak maklumat mengenai keberadaan penjenayah berkenaan di China sejak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply