Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Penyatuan PAS, UMNO adalah kekuatan umat Islam Malaysia dalam politik

Penyatuan PAS, UMNO adalah kekuatan umat Islam Malaysia dalam politik

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penyatuan antara PAS dan UMNO adalah suara hati nurani 4.2 juta ahli kedua-dua parti di akar umbi.

Beliau berkata, penyatuan ini adalah kekuatan buat umat Islam Malaysia dalam politik.

“Cuma kita perlu sentiasa berusaha meredakan ketegangan dan pertelingkahan yang terlihat di media. Itulah perjuangan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Katanya, beliau akan terus memperjuangkan cita-cita Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS walaupun tidak bersama parti pada masa ini.

“Saya adalah rakan dan sahabat seperjuangan saudara dalam memperjuangkan Islam,

“Saya ‘berhenti’ parti yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bukannya ‘keluar’. Rujuk perlembagaan PAS perbezaan antara ‘berhenti’ dan ‘keluar’, ujarnya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, akan terus memperjuangkan cita-cita menyatukan umat Islam khususnya antara PAS dan UMNO sebagaimana keputusan Majlis Syura Ulamak 2015 serta sebagaimana roh perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019.

“Perjanjian MN ditandatangani dengan linangan air mata ahli-ahli PAS dan UMNO serta juga sebagaimana semangat keputusan muzakarah Majlis Syura Ulamak pada 30 Disember 2021, 13 hari sebelum saya digugurkan sebagai AJK PAS Pusat yang baru dilantik,

“Seterusnya saya meletakkan jawatan sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulamak sebulan selepas itu pada 21 Februari 2022 bagi menjaga keharmonian perlembagaan PAS,” jelasnya.

Mohd Khairuddin menegaskan, beliau tidak pernah mengkritik batang tubuh PAS dan idea perjuangannya, hanya menegur tindak tanduk beberapa kerat pimpinan secara umum yang mempromosi pertembungan di sebalik suara mahukan penyatuan.

“Saya mesra UMNO dan mesra PAS kerana itulah semangat cita-cita penyatuan PAS dan UMNO dan akan kekal mesra kedua-dua pihak,

“Saya dilihat sepentas dengan UMNO dalam banyak program dan saya bersedia sepentas dengan PAS dalam apa sahaja program, cuma barangkali sentimen saya ‘berhenti’ PAS menjadi hambatan sementara,

“Dalam masa yang sama saya sentiasa bersama dalam program kerajaan negeri Terengganu apabila dijemput kerana saya bukannya pembangkang kepada kerajaan negeri dan tentunya bersama dalam program melibatkan Kerajaan Persekutuan kerana saya Ahli Parlimen kerajaan Persekutuan, ‘Keluarga Malaysia’. Saya juga sentiasa bersama dengan ahli-ahli PAS di Kuala Nerus apabila berkesempatan berprogram bersama,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, akan terus membantu PAS dari belakang untuk berprogram di seluruh Malaysia. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply