Home Semasa Gesa kerajaan tubuh RCI siasat insiden pencerobohan data

Gesa kerajaan tubuh RCI siasat insiden pencerobohan data

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menggesa kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat sepenuhnya insiden-insiden pencerobohan, kecurian dan kebocoran data peribadi yang terjadi sejak 5 tahun kebelakangan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, gesaan itu juga bertujuan bagi mengenal pasti langkah-langkah menyeluruh dalam memperkasa keselamatan siber negara dan mendapatkan keadilan buat mangsa-mangsa kecurian data peribadi serta jenayah ‘scammer’.

“Data peribadi kita perlu dilihat sebagai aset dan khazanah negara. Oleh itu keselamatan data peribadi mesti diberi perhatian amat serius, dihormati sepenuhnya, dan dilindungi sepanjang masa, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis, sebuah syarikat komersial mendedahkan bahawa terdapat insiden keselamatan siber di mana data kad pengguna mungkin telah diceroboh.

Namun, iPay88 hanya mengumumkan kejadian tersebut semalam, hampir 3 bulan selepas kejadian berlaku, tanpa memberi sebarang maklumat lengkap tentang jumlah data peribadi atau mangsa yang terkesan serta langkah-langkah yang telah diambil untuk memaklumkan mangsa pencerobohan data peribadi.

Sehubungan itu, Fahmi mempersoalkan kelewatan syarikat komersial tersebut dalam memaklumkan mengenai pencerobohan data yang berlaku terhadap organisasi tersebut pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, insiden seperti itu menjadi bukti bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 mesti dipinda segera untuk mewajibkan pihak syarikat memberi notis sepantas mungkin kepada pihak berkuasa dan mangsa-mangsa apabila berlaku pencerobohan atau kecurian data.

Tambahnya beliau berkata, institusi kewangan serta badan-badan seperti Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan lain-lain perlu menjadi penggerak utama bagi mengesyorkan mekanisme pampasan termasuk kewangan kepada mangsa-mangsa kecurian data peribadi.

“Mangsa-mangsa ini akan mengalami trauma, kegusaran dan kerisauan tentang data peribadi mereka yang telah dicuri, serta aktiviti jenayah yang mungkin berlaku berkait data mereka itu,

“Malah jika mereka nanti menjadi mangsa ‘scammer’, sudah pasti akan ada yang menjadi murung atau mengalami masalah kesihatan mental yang lain,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply