KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 telah diluluskan di Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 setelah diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Ogos yang lalu.
Kelulusan ini merupakan satu detik yang bersejarah sempena ulang tahun LTAT yang ke-50 sejak penubuhannya pada tahun 1972.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkata, Ahli Lembaga Pengarah serta barisan pengurusan LTAT mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas sokongan penuh kepada pindaan ini serta penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negara yang memberikan sokongan kepada RUU ini.
“Kejayaan pindaan Rang Undang-Undang ini merupakan titik permulaan baharu bagi LTAT meneruskan agenda transformasinya dalam usaha untuk menjadi sebuah dana persaraan yang kompetitif dan mampan,
“Ia juga berupaya untuk memelihara kedudukan sosio-ekonomi para pencarum LTAT yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, RUU pindaan Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 ini akan diwartakan selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika menggulung usul perbahasan Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 berkata, pindaan bertujuan memastikan caruman anggota tentera dalam LTAT selamat.
Tegasnya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku berkaitan caruman.
LTAT merupakan sebuah institusi badan berkanun yang menyediakan kemudahan Skim Simpanan Persaraan kepada para pegawai dan anggota Lain-lain pangkat ATM serta anggota kerahan sukarela.
Ia ditubuhkan pada bulan Ogos 1972 di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101).-airtimes.my