Home Pertahanan dan Keselamatan Projek Kapal LCS: Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan – Ismail Sabri

Projek Kapal LCS: Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan isu berkaitan Kapal Tempur Pesisir (LCS) seterusnya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius isu LCS yang sedang dalam siasatan SPRM.

“Perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dengan memutuskan untuk menggesa SPRM agar menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan,

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

“Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify). Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu,

“Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan mengganggu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply