Home Semasa 4 PATI Indonesia sembunyi dalam kilang batu ditahan

4 PATI Indonesia sembunyi dalam kilang batu ditahan

by Nurulhuda

TAWAU, 25 Jul – Hasrat 4 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk mencari rezeki di Sabah gagal apabila ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Payung, semalam.

Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berkata, kesemua lelaki berkenaan telah ditahan ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah kilang batu di kampung berkenaan.

Jelasnya, penahanan itu adalah hasil maklumat disalurkan oleh penduduk kampung yang melihat lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di sekitar kampung tersebut.

Menurut MK ATB 2, Tim Quick Reaction Force (QRF) sebelum itu telah diaturgerak ke lokasi dan bertindak menahan serta membuat pemeriksaan awal dokumen terhadap kesemua suspek.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek merupakan PATI yang berasal dari Indonesia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kesemua mereka juga tiada permit kerja dan cop pengesahan kebenaran untuk memasuki Sabah serta berada di Malaysia secara haram,

“Mereka terdiri daripada 4 lelaki dewasa berusia antara 18 hingga 24 tahun, serta tiada penemuan barang-barang terlarang,” jelas kenyataan itu.

Tambah MK ATB 2, kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka berasal dari Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan untuk bekerja.

“Kesemua PATI tersebut telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bandar Sri Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, MK ATB 2 menjelaskan, pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan kerjasama secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku.

“ATM tidak berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply