Home Pertahanan dan Keselamatan LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan – Affendi

LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan – Affendi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LlMA) kali terakhir dianjurkan pada 2019, dijangka akan membuat kemunculan semula secara besar-besaran tahun depan, yang dijadualkan pada Mei 2023.

Ia berikutan pembukaan semula sempadan negara dengan corak tingkah laku perjalanan kembali kepada waktu sebelum pandemik.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Malaysia yakin LIMA 2023 bakal menjadi acara paling popular di rantau ini selepas edisi terakhir LIMA iaitu LIMA 19 memandangkan edisi 2021 terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Susulan kerumpangan 3 tahun selepas penganjuran LIMA 19, bukan sahaja kerajaan dan pihak penganjur bersiap sedia sepenuhnya malah pempamer, delegasi asing serta orang ramai begitu teruja dan tidak sabar menantikan LIMA 2023,

“Siri pameran LIMA yang membuat penampilan sulung pada 1991 telah menempuh pelbagai pengalaman sejak 30 tahun lepas dan ia telah diangkat sebagai acara terbesar dan paling popular serta dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Tambah Affendi, LIMA merupakan pameran yang unik kerana mengabungkan segmen aeroangkasa dan maritim di bawah satu bumbung.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama di Pertunjukan Udara Farnborough 2022 (FIA 2022) yang berlangsung di United Kingdom pada Rabu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

LIMA 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi dan merupakan anjuran kali ke-30 untuk pameran tersebut.

Dalam masa yang sama, Isham pula menjelaskan, penyertaan Malaysia dalam FIA 2022 merupakan platform terbaik untuk memulakan kempen promosi selama 10 bulan bagi LIMA 2023.

Tambahnya, ia membabitkan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur dilantik bagi LIMA 2023 yang akan membuat pameran di Pavilion Malaysia MATRADE.

Jelasnya, sebanyak 14 syarikat Malaysia dan 3 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara 5 hari itu yang berakhir pada Jumaat. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply