Home Semasa Tak mahu panjangkan kes, keluarga Adib tarik balik rayuan

Tak mahu panjangkan kes, keluarga Adib tarik balik rayuan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan untuk mengkomitkan bekas peguam negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berhubung kenyataannya mengenai prosiding inkues.

Firma guaman yang mewakili keluarga itu, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates berkata, arahan itu dibuat oleh keluarga Muhammad Adib kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut di mahkamah.

“Susulan daripada arahan keluarga arwah Adib agar rayuan bapanya ditarik balik, pihak peguam, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan notis menarik balik rayuan pada 31 Mei 2022,

“Ini diikuti kemudiannya dengan pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa Jabatan Peguam Negara turut menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan,”

“Maka dengan itu, pihak keluarga arwah Muhammad Adib menganggap proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas dan Jabatan Peguam Negara, selesai dan tamat di sini,” kata firma itu dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pihak keluarga Muhammad Adib turut berharap masyarakat dapat menerimanya, sekali gus membolehkan mereka memulakan kehidupan baharu.

Bagaimanapun, tegasnya, ia tidak sama sekali menggugat keputusan dan dapatan oleh Mahkamah Koroner yang mengesahkan bahawa Allahyarham Adib mati akibat dipukul walaupun pembunuhnya tidak dapat ditemui sehingga hari ini.

Tambahnya, kematian Allahyarham turut disumbangkan oleh kegagalan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal rusuhan.

“Alasan penghakiman setebal 52 halaman oleh Hakim Koroner itu tidak pernah diakas oleh mana-mana Mahkamah yang lebih tinggi, dan dengan yang demikian itu, kekal sebagai dapatan fakta yang autoritatif,

“Pendirian keluarga Allahyarham untuk menarik balik rayuan komital ini juga tidak bererti usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang,

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam, serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” jelas Firma guaman itu.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas bertarung nyawa selama 21 hari, Adib menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih 2 atau 3 individu yang tidak diketahui.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply