SINGAPURA, 11 Jun – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan konflik di Laut China Selatan berisiko untuk menjadi konflik terburuk dalam sejarah sekiranya tidak ditangani dengan baik.
“Malaysia lebih daripada menyedari apa yang dipertaruhkan dalam isu Laut China Selatan,
“Kerana itulah sebabnya kami (Malaysia) secara konsisten menyokong bahawa diplomasi diutamakan dalam menyelesaikan pertikaian,
“Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi pertikaian ini boleh menjurus kepada salah satu konflik terburuk dalam jangka hayat dan sejarah kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan Sesi Pleno Dialog Shangri-La ke-19 di Singapura.
Jelasnya, semangat saling mempercayai dan menghormati adalah antara penggerak kepada semua pihak terutamanya ASEAN untuk berganding bahu dalam isu ini.
“Blok 10 negara (ASEAN) mesti bersatu jika kita mahu berusaha untuk menangani cabaran yang akan mendatang,
“Kita tidak mampu menghadapi masalah ini secara individu terutamanya apabila berhadapan dengan negara-negara yang lebih besar,” ujar beliau.
Dalam sesi soal jawab pula, Hishammuddin menegaskan ASEAN berhak menentukan hala tuju rantau ini.
“Secara asanya, kesemua 10 negara anggota ASEAN mampu untuk menentukan nasib mereka,
“Tiada kuasa besar yang mampu untuk menidakkan perkara ini,
“Saya juga berharap negara-negara kuasa besar perlu menghormati bahawa ASEAN mempunyai maruah dan kebanggaanya tersendiri,
“Kami akan pertahankan hak dan kemerdekaan kami sehingga akhir,” ujarnya. – airtimes.my