Home Semasa Ganja dalam perubatan: Perlu kajian terperinci sebelum diluluskan -EXCO Kesihatan Melaka

Ganja dalam perubatan: Perlu kajian terperinci sebelum diluluskan -EXCO Kesihatan Melaka

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan, satu kajian secara terperinci perlu diadakan berhubung isu penggunaan ganja atau ‘cannabis” (kanabis) sebagai perubatan sebelum ia diluluskan oleh kerajaan.

Menurutnya, kajian tersebut perlu dilakukan dengan lebih terperinci untuk memastikan ganja yang digunakan selamat dan berkesan untuk tujuan perubatan ataupun sebaliknya.

Tambahnya, kajian terperinci itu penting memandangkan keputusan yang dibuat akan menentukan masa depan generasi berikutnya pada masa hadapan.

Sebagai pengamal perubatan, beliau turut mengalu-alukan apa juga jenis ubat yang mampu memberi kesembuhan kepada pesakit, sama ada ubat sedia ada atau ubat baru ditemukan, termasuk penggunaan ganja.

“Sama juga apabila bercakap mengenai ganja atau cannabis sebagai perubatan, ia mestilah disertakan dengan kajian yang benar-benar terbukti selamat untuk digunakan oleh manusia,

“Daripada kajian sedia ada, hanya ‘chronic pain’ dan ‘multiple sclerosis spasticity’ sahaja yang menunjukkan bahawa cannabis atau ganja mampu untuk memberikan rawatan kepada pesakitnya manakala lain-lain penyakit tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menunjukkan bahawa cannabis ini adalah berkesan untuk merawat penyakit tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhamad Akmal turut menjelaskan, penggunaan ganja atau kanabis bagi tujuan perubatan perlu disertakan dengan fakta dan bukti kajian, bukan semata-mata menerusi komen bersifat populis.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, mana-mana pihak juga perlulah menyertakan fakta dan bukti kajian apabila membuat sesuatu komen dan bukan hanya semata-mata komen yang bersifat populis dan tidak mempunyai data kajian.

Ujarnya, apabila bercakap mengenai soal kesihatan rakyat, ia bukan perkara yang boleh diambil remeh, apa jua yang melibatkan polisi kesihatan rakyat ia perlulah dilakukan kajian yang sangat teliti mengenai baik dan buruknya.

“Kita adalah pemimpin untuk menjaga rakyat, bukanlah untuk mencari populariti semata-mata, maka semua keputusan kita terutama yang melibatkan soal kesihatan rakyat perlulah dilakukan dengan kajian yang teliti,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen, Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat paling lantang bersuara mengenai isu penggunaan kanabis dalam perubatan.

Beliau dilihat bersuara selepas penyanyi Yasin Sulaiman didakwa atas 2 pertuduhan menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama.

Artis yang popular menerusi lagu Mimpi Laila itu berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Syed Saddiq menjelaskan, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penggunaan dadah jenis kanabis di negara ini.

“Saya juga memberi padangan agar Jabatan Peguam Negara diberi kuasa untuk memberi pertimbangan yang lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis,

“Hakim-hakim juga perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan,” jelas Syed Saddiq baru-baru ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply