Home Pertahanan dan Keselamatan Demo veteran: Ugut-ugut ini semuanya tak akan jalan – Menteri Pertahanan

Demo veteran: Ugut-ugut ini semuanya tak akan jalan – Menteri Pertahanan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=9i6aNEdCeVY[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan kepada pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar terus bersemuka dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) sekiranya mempunyai pandangan atau keinginan tertentu berhubung isu kebajikan mereka.

Beliau juga menjelaskan, tindakan berunsur ugutan tidak boleh diterima oleh pihaknya dan ia tidak sekalipun membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Bagi saya sebagai Menteri Pertahanan yang penting ialah untuk mendekati dan melibatkan diri secara langsung dan mereka yang betul-betul ikhlas untuk membela kebajikan veteran dan tak ada perkara yang saya tak sanggup lakukan kalau sekiranya hujah itu dibawa kepasa saya secara bersemuka,

“Ugut-ugut ini semua tak jalan. Jadi kalau ada mana-mana pihak yang ada cadangan, pandangan, ada keinginan datang kepada Mindef, cakap. (Kita) sentiasa terbuka,” katanya ketika sidang media di majlis pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Sateria Residensi Platinum South Valley di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas isu berkenaan sekumpulan pesara ATM yang mahu mengadakan demonstrasi pada awal bulan Jun 2022.

Awal bulan lalu, sekumpulan pesara tentera yang menamakan diri mereka sebagai Suara Veteran mendakwa dianggarkan 5,000 veteran ATM akan mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun depan bagi mengemukakan ketidakpuasan hati berhubung isu kebajikan mereka.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sembrong itu turut mengingatkan bahawa setiap tindakan yang mereka lakukan perlu difikirkan kesannya.

“Jangan kita gembar-gemburkan sesuatu… tapi saya tak boleh sekat mereka kalau mereka nak buat apa dia nak buat, buat tetapi fikir baik-baik,

“Dah bincang dengan kita dulu ke, apa yang diinginkan supaya yang penting pembelaan kepada veteran, berapa ratus ribu (veteran) yang ada, sama ada mereka (yang mahu demo) mewakili veteran-veteran itu atau tidak,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, kementeriannya akan meneruskan apa yang termampu sekaligus menyatakan pelancaran blueprint hari ini dan agenda lain seperti perumahan, kesihatan serta pendidikan melibatkan veteran tentera tidak pernah dilupakan.

Terdahulu, Hishammuddin telah menyempurnakan Majlis Prapelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (SASaR) berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan Blueprint Perumahan 3.0 tersebut menyasarkan pembinaan 12,733 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

Tambahnya, pembinaan RKMAT itu akan dilaksanakan melalui 5 fasa bermula tahun hadapan hingga 2030. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply