KUALA LUMPUR, 8 NOV – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengekalkan peraturan sedia ada pemberian pencen kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai perkhidmatan sekurang-kurangnya 21 tahun, bagi memastikan kepentingan perkhidmatan dan kesiapsiagaan ATM sentiasa terpelihara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahri memaklumkan, di bawah peraturan ini juga setiap anggota lain-lain pangkat (LLP) yang berminat boleh memohon melanjutkan perkhidmatan mereka ke 26 tahun perkhidmatan atau sehingga 55 tahun tertakluk kepada pertimbangan keputasan Majlis Angkatan Tentera (MAT).
“Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982 menetapkan bagi melayakkan seseorang askar menerima pencen perkhidmatan, ia mestilah mempunyai perkhidmatan diakui sekurang-kurangnya 21 tahun,
“Bagi anggota yang mempunyai perkhidmatan sekurang-kurangnya 21 tahun layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 50 peratus dari gaji akhir pangkat sebenar manakala anggota yang mempunyai perkhidmatan diakui 26 tahun layak menerima pencen perkhidmatan sehingga 60 peratus daripada gaji akhir,
“Manakala, bagi anggota yang menamatkan perkhidmatan tidak berpencen iaitu sebelum 21 tahun perkhidmatan juga menerima ganjaran perkhidmatan mengikut kadar yang ditetapkan di bawah peraturan-peraturan Angkatan Tetap,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikan bagi menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan bin Harun (Hulu Selangor) yang menyatakan adakah Kerajaan berhasrat menilai semula pencen 21 tahun perkhidmatan untuk ATM memandangkan mereka masih muda dan mempunyai komitmen terhadap keluarga.
Peluang Kerjaya Kedua
Mengulas lanjut, Adly berkata, skim perkhidmatan ini diwujudkan dengan mengambil kira beberapa faktor terutamanya tahap kesihatan dan fikizal anggota semasa berkhidmat.
Sehubungan itu, MINDEF menyediakan pelbagai inisiatif untuk pesara tentera dalam mendapatkan peluang kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan mereka termasuklah ‘Job Matching’ melalui perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
“Job Matching adalah sebahagian tanggungjawab kementerian melalui PERHEBAT, seperti mana yang dimaklumkan dalam Pembentangan Bajet 2023 dan 2024,
“Sebagai satu contoh, Renjer Hutan antara Job Matching yang dilakukan di perkhidmatan awam dan kementerian. Selain itu terdapat beberapa lagi Job Matching yang sedang diusahakan oleh pihak kementerian,
“Sebanyak 82 peratus veteran ATM memilih bidang keusahawanan. Sebab itu kementerian cuba menyediakan pengkhususan untuk memudahkan mereka ini. Sebab itu tahun ini peruntukan RM5 juta diberikan untuk pembangunan program ini,
“Bagi kami di kementerian, kejayaan dalam menguruskan peluang kedua pesara ini akan memberikan kejayaan masa hadapan mereka setelah tamat perkhidmatan,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#airtimes #pertahanan #pencen #pesara