Home Pertahanan dan Keselamatan 100 tahun penubuhan: PVATM terus perjuangkan hal ehwal kebajikan veteran ATM

100 tahun penubuhan: PVATM terus perjuangkan hal ehwal kebajikan veteran ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Tempoh 100 tahun penubuhan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) merupakan kematangan usia persatuan ini dalam memperjuangkan hal ehwal kebajikan warga veteran ATM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam ucapan sempena sambutan ke-100 tahun penubuhan PVATM berkata, sesungguhnya jasa dan pengorbanan veteran tidak terbalas demi memastikan keamanan serta kemakmuran negara sentiasa terpelihara.

Sempena hari bersejarah ini, PVATM akan mengadakan perbarisan statik veteran ATM pada 21 Mei ini (Sabtu) di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

PVATM adalah merupakan sebuah persatuan yang tertua di negara ini. Mula ditubuhkan pada 20 Mei 1922, dengan nama Ex-Services Association of Malaya (ESAM) dan telah diterima menjadi Ahli Gabungan ‘British Empire Services League’ pada 22 Mei 1922.

Mengikut rekod, inisiatif untuk menubuhkan persatuan ini dilakukan oleh bekas-bekas anggota tentera British dan beberapa buah negara Eropah yang pernah berkhidmat ketika perang dunia pertama di negara ini. Mereka ini juga turut disertai oleh pegawai-pegawai ekspatriat British yang berkhidmat di Malaya.

PVATM kini mempunyai keahlian seramai 160,000 pada sesuatu masa di 14 buah negeri dan bahagian serta 246 cawangan di seluruh daerah negara.

Kerajaan secara tidak langsung mengiktiraf PVATM sebagai peneraju dan penggerak perjuangan seluruh veteran di Malaysia.

Dengan itu, PVATM mempelopori perjuangan secara berhemah bersandarkan kepada perjuangan ‘Satu suara, Satu nada’ dalam bersama berusaha memperjuangkan kepentingan seluruh veteran di Malaysia.

PVATM kini telah bergabung dengan pertubuhan World Veteran Federation (WVF); Royal Commonwealth Ex-Service League (RCEL); Veteran Confederation of ASEAN Countries (VECONAC); Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply