Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Lompat parti: Pemimpin PEJUANG selar tindakan Hamzah kaitkan Tun Mahathir

Lompat parti: Pemimpin PEJUANG selar tindakan Hamzah kaitkan Tun Mahathir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ulya Husamuddin menyelar tindakan Setiausaha Agung Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dlam isu lompat parti.

Beliau berkata, tidak sepatutnya Hamzah menyamakan tindakan Tun Mahathir keluar UMNO dan Bersatu sebagai lompat parti kerana ia tidak langsung mengganggu tadbir urus negara.

“Sewaktu meninggalkan UMNO sebelum PRU-14 yang sarat dengan amalan rasuah amalan Najib Razak, beliau bukan seorang ahli parlimen,

“Sewaktu memimpin Bersatu, beliau dipecat sebagai Pengerusi oleh Muhyiddin dan komplot Ahli Majlis Tertinggi Bersatu kerana tidak bersetuju dengan tindakan untuk lompat keluar daripada koalisi sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyatan pada Jumaat.

Dalam kenyataan yang sama, Ulya turut mempersoalkan sama ada Hamzah sedar tindakan lompat parti membawa kepada ketidakstabilan politik di negara ini.

“Apakah Hamzah Zainudin tidak sedar ketidakstabilan politik di negara ini pasca Langkah Sheraton telah menyebabkan kejatuhan nilai ringgit yang teruk dan menyebabkan pelabur asing lari?,” ujarnya.

Pada Rabu, Hamzah berkata, tindakan keluar masuk parti disifatkan sebagai perkara biasa dan berlaku sejak dahulu lagi dengan mendakwa ia dilakukan demi kepentingan rakyat.

Jelasnya, perkara itu bukan sahaja berlaku di peringkat bawahan, malah turut membabitkan pimpinan tertinggi parti, termasuk Mahathir.

Mengulas lanjut, Ulya menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan segera demi kepentingan negara.

“PEJUANG menggesa supaya RUU Anti Lompat Parti dapat segera dibentangkan di Parlimen agar negara ini dapat bergerak maju kehadapan dan tidak diganggu oleh aktiviti politik yang menggugat kelancaran pentadbiran negara,” tambah Ulya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, cadangan undang-undang untuk melarang Ahli Parlimen lompat parti akan dibentangkan di Parlimen pada Julai.

Selain itu, satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen, yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk merangka undang-undang tersebut.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply