KUALA PERLIS, 9 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya merampas 70 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM12,600 di kedudukan 3.1 batu nautika dari barat daya pantai Sungai Baru, pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan itu dibuat pada jam 1.56 tengah hari hasil aduan orang awam melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.
“Bertindak atas maklumat, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak aset laut dan pasukan operasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan ke lokasi,
“Anggota bot peronda menemui 4 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang 70kg itu dipercayai cuba diseludup,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan keluar daun ketum yang dilakukan suspek ini adalah sama seperti tangkapan terdahulu iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan, kemudian dipindahkan ke bot nelayan negara jiran di perairan Malaysia-Thailand.
“Aktiviti haram ini dilihat semakin aktif berikutan harga pasaran di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan sekitar RM70,
“Semua hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain aktiviti berkaitan bahan itu. – airtimes.my