Home Pertahanan dan Keselamatan Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 eratkan kerjasama pertahanan serantau

Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 eratkan kerjasama pertahanan serantau

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM-22) yang berlangsung di Kuala Lumpur selama tiga hari, bermula 9 hingga 12 September, menekankan usaha memperkukuh solidariti dan kebersamaan dalam kalangan negara anggota.

Sidang yang diadakan di Hotel InterContinental itu disertai tujuh Panglima Angkatan Tentera serta empat wakil dari Myanmar, Thailand, Indonesia dan Timor Leste.

Kehadiran Timor Leste sebagai pemerhati, sekali gus mencerminkan langkah awal negara itu untuk menyertai ASEAN sebagai anggota rasmi ke-11 dalam persidangan akan datang

Bertemakan “ASEAN Unity for Security and Prosperity”, persidangan kali ini menegaskan komitmen serantau dalam membina komuniti yang bersatu, stabil dan proaktif.

Selain itu, persidangan ini turut menyokong aspirasi ASEAN Vision 2025, menekankan manfaat bersama tanpa mengira saiz negara atau kapasiti ekonomi.

Persidangan dimulakan dengan ucaptama oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, selaku Pengerusi ACDFM-22. Beliau menyampaikan penghargaan atas sokongan negara anggota sebelum persidangan diteruskan dengan agenda utama.

Kemuncak sidang itu seterusnya menyaksikan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh semua Panglima Angkatan Tentera ASEAN sebagai simbol konsensus terhadap hala tuju serantau.

Malaysia kemudiannya, menyerahkan kepengerusian ACDFM-23 kepada Panglima Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo S Brawner Jr.

Menurut siaran media ATM, ACDFM-22 menumpukan pengukuhan diplomasi, kerjasama transformasi digital dan inovasi teknologi, serta meningkatkan daya saing ekonomi, sekali gus membuktikan peranan aktif dalam memacu hala tuju strategik ASEAN.

Dalam pada itu, forum itu turut menjadi platform penting membincangkan isu keselamatan rentas sempadan, perubahan iklim dan cabaran undang-undang maritim antarabangsa

Persidangan kali ini selepas Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sekali lagi mengukuhkan kredibiliti Malaysia sebagai tuan rumah dan menjadi platform terbaik memperkukuh kerjasama pertahanan serantau demi keamanan, kestabilan dan kesejahteraan jangka panjang rantau ini. – airtimes.my

#AirTimes #ACDFM22 #PAT #ASEAN #Pertahanan #ATM #Malaysia

Leave a Reply