Home PolitikBarisan Nasional Biarlah BN dengan BNnya, PAS dahulu pilih lawan BN – Shabery

Biarlah BN dengan BNnya, PAS dahulu pilih lawan BN – Shabery

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Mei – UMNO menegaskan bersetuju dengan PAS berkaitan penyatuan ummah lebih besar daripada penyatuan kepartian.

Namun, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PAS terlebih dahulu telah membuat keputusan memilih Perikatan Nasional (PN) untuk melawan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia terbukti menerusi 2 Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor, yang mana PAS bersama rakan PN bertanding melawan BN.

“Betul, saya setuju penyatuan ummah lebih besar daripada kerjasama politik,

“Namun, PAS sudah mengenepikan warna hijaunya sendiri untuk memilih biru PN melawan BN,

“Oleh itu, BN biarlah dengan BN-nya. Kita telah medan tempur bersama di Melaka dan Johor. Kata mengata, gelar menggelar sudah dilemparkan. No hard feelings. Nothing personal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, bahawa parti itu kekal berpendirian menegaskan penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tuan Ibrahim berkata, PAS melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

Jelasnya, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

Sementara itu, Shabery berkata, selepas ini semua pihak kembali bermesyuarat bersama dalam sebuah kerajaan.

“Ulang balik di PRU15, jika ada rezeki boleh duduk sekali lagi bersama dalam kerajaan,

“Malah, khabarnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun sedang cari khemah besar. Cari formula nak jadi PM ke 10,

“Mudahan PAS tak ditinggalkan. Kalau ada rezeki, tak kira dengan siapa, PAS tetap dalam kerajaan,” tegasnya.

Tambah Shabery, umat tidak akan berpecah tanpa kerjasama politik dan semua pihak perlu bertenang, rehat dan sejukan hati. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply