Home Semasa Malaysia tidak iktiraf pelarian, warga asing diterima kerana kemanusiaan – Hamzah

Malaysia tidak iktiraf pelarian, warga asing diterima kerana kemanusiaan – Hamzah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDR) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian tahanan etnik Rohingya melarikan diri, semalam.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak termasuk warga asing yang berada di dalam Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini.

“Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan,

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk warga asing yang berada di dalam Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada pihak yang melanggar undang-undang.

Mengulas mengenai tahanan yang masih bolos, beliau berkata, semua agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri.

“Kesemua 528 orang tahanan yang melarikan diri adalah merupakan pelarian etnik Rohingya yang telah dipindahkan daripada Kem Wawasan Langkawi setelah ditangkap mencerobohi perairan negara dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020 lalu,

“Sehingga kini, 382 tahanan telah ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawak KDN dikerahkan dalam operasi bersepadu ini,” tambahnya.

Awal pagi semalam, seramai 528 tahanan melarikan diri setelah tercetus rusuhan di pusat tahanan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tahanan melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan grill penghadang.

Operasi memburu digerakkan oleh polis Kedah dan Pulau Pinang, Jabatan Imigresen Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit anjing pengesan K-9.

Manakala, seramai 6 orang tahanan dilapor meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika cuba melintas lebuh raya Utara-Selatan (Plus).-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply