Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara No 8 Skuadron TUDM ambil alih pengoperasian pesawat A400M

No 8 Skuadron TUDM ambil alih pengoperasian pesawat A400M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 14 Apr – No 8 Skuadron (Skn) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini mengambil alih pengoperasian pesawat A400M daripada No 22 Skn berkuatkuasa pada 4 Februari lalu.

TUDM menerusi hantaran media sosialnya memaklumkan, penstrukturan pengoperasian ini sejajar dengan Pelan Tindakan CAP55 Fasa 1 (2021-2022) yang mana nama No 22 Skn ditukarkan kepada No 8 Skn.

“Simbolik pengoperasian No 8 Skn dilaksanakan dalam satu Perbarisan Skuadron dengan upacara pemakaian lencana kepada pegawai-pegawai eksekutif skuadron sekaligus menjadi simbolik penukaran mengoperasikan pesawat A400M dari No 22 Skn,

“Pemakaian lencana No 8 Skn telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Omar Dawami TUDM kepada Pegawai Memerintah Skuadron, Leftenan Kolonel Yusrizal Zain TUDM,” katanya.

Menurutnya, sejarah pengoperasian bagi pesawat A400M bermula pada 5 Januari 2015 dengan secara rasminya No 22 Skn mengoperasikan pesawat baharu tersebut.

Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Omar Dawami TUDM memakai lencana No 8 Skn kepada Pegawai Memerintah Skuadron, Leftenan Kolonel Yusrizal Zain TUDM – Foto: TUDM

“Sejak itu, pelbagai penugasan penerbangan taktikal dan strategik telah dilaksanakan seperti Air-to-Air Refueling, Medical Evacuation (MEDEVAC), Humanitarian Assistance Disaster Relief (HADR) serta penglibatan dalam eksesais bersama negara-negara luar yang telah membawa nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan TUDM khasnya,

“Malah ia memainkan peranan penting khusus bagi bantuan penghantaran udara semasa pandemik COVID-19 melanda negara ketika pesawat syarikat penerbangan komersial tidak beroperasi,” ujarnya.

Sebelum ini, No 8 Skn pernah digunakan bagi pengoperasian pesawat angkut Caribou DHC-4A yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan pada tahun 1966 dan telah dihentikan operasi pada bulan Oktober 1993.

“Dengan pertukaran ini, fungsi dan peranan No 8 Skn yang baharu dikekalkan sama seperti No 22 Skn yang mengoperasikan pesawat A400M sebelum ini,

“Pertukaran pengoperasian ini telah melakarkan sejarah tersendiri kepada TUDM dan kepada No 8 Skn yang memegang moto ‘Teguh Merentas’,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply