KUALA LUMPUR, 14 Apr – Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibenarkan untuk mengeluarkan wang caruman bagi tujuan mengerjakan haji dan pendidikan mulai 15 April ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengeluaran haji dibenarkan dengan jumlah maksimum RM10,000.
“Dengan syarat telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji dari Lembaga Tabung Haji serta telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Manakala bagi pengeluaran pendidikan, jumlah maksimun yang dibenarkan adalah RM3,200.
“Ini bagi membantu pencarum membayar yuran pendaftaran semester 1 bagi pengajian peringkat Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana atau PHD di universiti awam,”
“Kedua-dua pengeluaran ini dibenarkan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan dan akan berkuatkuasa mulai 15 Apil 2022,” ujarnya.
Hishammuddin turut mengumumkan kenaikan Bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut penjadualan, daripada RM20 kepada RM50 sehari.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengesahkan inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam turut akan dipanjangkan kepada anggota ATM.
“Dengan pengesahan ini, anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari,
“Malah, anggota terbabit juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan. Manakala bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan akan mengumunkan perancangan baru dalam usaha menambahbaik aspek pendidikan anak-anak warga ATM di seluruh negara secara holistik.
“Ini merangkumi penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat-pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif,
“InsyaAllah, sebaik sahaja perinciannya dimuktamadkan, saya sendiri akan umumkan dan segera dilaksanakan,” – tegasnya. airtimes.my