Home Semasa Bot pecah, 18 pemancing diselamatkan APMM di Langkawi

Bot pecah, 18 pemancing diselamatkan APMM di Langkawi

by Air Times News Network

LANGKAWI, 27 Feb – Seramai 18 pemancing termasuk kru berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) setelah bot karam dipukul ombak di kedudukan 9.4 batu nautika, barat Pulau Beras Basah, semalam.

APMM menerusi laman media sosial rasminya berkata, siasatan mendapati bot tersebut telah pecah di bahagian hadapan lalu bocor dan menyebabkan karam sepenuhnya sekitar jam 2.15 petang dalam tempoh 45 minit.

“Kesemua mangsa berusia antara 26 hingga 55 tahun merupakan warga tempatan,

“Sementara menunggu bantuan menyelamat tiba, mereka memakai jaket keselamatan sambil berpegang tangan antara satu sama lain membentuk kumpulan di dalam air,

“Sebelum ditemui dan diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang melalui lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, kesemua mangsa telah dipindahkan ke Bot PENYELAMAT 5 di kedudukan lebih kurang 15.3 batu nautika, barat, Pulau Singa Besar pada jam 11.05 malam.

“2 daripada 18 mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kekejangan otot kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut,

“Berikutan penemuan ini, Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 12.30 tengah malam tadi,” ujarnya.

Untuk rekod, insiden ini merupakan operasi CARILAMAT kedua ke atas bot yang sama, di mana pada September 2021 juga telah dilaporkan hampir karam bersama 17 pemancing dan kru. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply