SUNGAI BULOH, 27 Feb – Jabatan Imigrsen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi di tapak semaian pokok persendirian sekitar Hutan Simpan Bukit Lagong, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syahmi Jaafar berkata, serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengah malam dan terdapat beberapa PATI cuba melarikan diri malah sanggup meninggalkan anak serta isterinya untuk menyelamatkan diri daripada ditahan JIM.
“Operasi hari ini berdasarkan aduan awam dan risikan kita jalankan lebih kurang sebulan untuk memastikan kesahihan aduan,
“Malam ini Imigresen Selangor berjaya melaksanakan operasi membanteras PATI di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Dagong dan menahan seramai 43 warga Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh,” katanya.
Tambahnya lagi, hasil siasatan ke atas PATI mendapati sebilangan daripada mereka ada yang menetap secara haram di kawasan tersebut sejak 4 tahun lalu.
Menurut beliau, pemantauan berterusan akan dijalankan pihak JIM bagi memastikan kawasan berkenaan tidak kembali bersarang oleh PATI.
“Kesemua PATI berusia 4 hingga 55 tahun yang terdiri daripada 20 lelaki, 20 wanita dan 3 kanak-kanak warga Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh direman 14 hari,
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) (tidak memiliki pas sah) dan Seksyen 15(1)(c) (tinggal lebih masa) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – airtimes.my