Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin rampas syabu bernilai RM504,000 dalam pasir

Polis Marin rampas syabu bernilai RM504,000 dalam pasir

by Nurulhuda

MUAR 19 Feb – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Muar telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM 504,000.00, di Pantai Parit Penyengat, Parit Jawa.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, pihaknya bertindak atas maklumat risikan dan maklumat awam berkaitan dengan aktiviti yang mencurigakan di kawasan di kawasan berkenaan pada jam 6.30 petang, Selasa lalu.

Beliau berkata, ketika pemantauaan dan risikan dijalankan, pasukan operasi telah menjumpai satu kotak berwarna coklat yang mencurigakan yang ditanam di dalam pasir dalam jarak 30 meter daripada pantai.

“Hasil pemeriksaan, didapati di dalam kotak itu mengandungi beberapa bungkusan lain dengan pecahan sebanyak 13 bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu,

“Pemeriksaan di sekitar kawasan tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhd Zailani menjelaskan modus operandi ini dikesan menjadi salah satu taktik baru yang digunakan oleh suspek dalam menjalankan kegiatan jenayah pengedaran dan penyeludupan dadah keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

“Kesemua barang tersebut telah dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Muhd Zailani menegaskan, pihaknya sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan.

“PPM Wilayah 2 turut menyeru masyarakat untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim,

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah 2 dengan kadar segera,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply