KUALA NERUS, 16 Feb – Seramai 14 pegawai dan 147 anggota tentera di bawah naungan 10 Briged (PARA) berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) Siri 2/2021 di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu pada Selasa.
Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para dalam hantaran di media sosialnya berkata, majlis penutupan kursus tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.
Menurut 18 RAMD, majlis tersebut yang julung kali diadakan di Terengganu telah berjaya menarik perhatian orang awam khususnya masyarakat tempatan yang menetap di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Sementara itu, para jemputan telah dipertontonkan dengan Demonstrasi Dinamik berkonsepkan aturgerak ketumbukan elit dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).
Katanya, Khairul Azmizal turut menyempurnakan upacara pemakaian beret merun dan sayap berdarah serta menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada penuntut kursus.
Panglima 10 Briged Para dalam ucapannya berkata, objektif kursus APAC adalah untuk membina kekuatan mental dan fizikal sebagai anggota PAC di samping membentuk pengetahuan dan kemahiran sekali gus melayakkan dianugerahkan beret merun yang menjadi kemegahan serta keunggulan ketumbukan ini.
Dalam majlis itu, Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik telah dianugerahkan kepada Leftenan Muda Muhammad Syahrul Fadzli Mohd Ridzwan dari pasukan 18 RAMD (Para).
“Anugerah Penuntut Ketabahan Terbaik diberikan kepada Sarjan Mohd Fadzli Rosli dari pasukan 18 RAMD (Para) dan Anugerah Penuntut Jasmani terbaik dirangkul Lans Koperal Nik Mohamad Zikri Nik Asli dari pasukan 10 Platun Kor Polis Tentera Darat (KPTD) (Para),” ujarnya. – airtimes.my