KUALA SELANGOR, 13 Feb – Hasrat 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia memasuki negara secara haram tidak kesampaian apabila berjaya dipintas dan diberkas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang di kedudukan 6.8 nautika perairan Sungai Buloh, semalam.
Komander PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim menjelaskan, selain 22 PATI Indonesia tersebut, anggotanya turut berjaya menahan seorang tekong dan 2 pembantu tekong dalam operasi yang dijalankan pada jam lebih kurang 6.30 pagi.
“2 buah bot ronda PGR 29 dan Spear 2 telah diaturgerakkan bagi membuat serbuan ke atas sebuah bot pom-pom yang menjalankan aktiviti penyeludupan PATI dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan laut),
“Dalam kejar mengejar tersebut, bot pom pom terbabit terkandas di lokasi kejadian dan berjaya di pintas oleh anggota PPM,” jelas PPM Wilayah 1 dalam hantaran di media sosialnya, pada Ahad.

Tekong dan pembantu tekong serta PATI diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Shamsol berkata, kesemua PATI adalah wargenegara Indonesia yang mana mereka tidak mempunyai dokumen yang sah dan dipercayai cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut tanpa melalui jalan yang diwartakan.
Selain itu, Shamsol berkata, hasil maklumat awal, kesemua mereka dikenakan bayaran untuk masuk ke Malaysia dengan bayaran 4 juta rupiah (RM1,200) hingga 5 juta rupiah (RM1,500) yang dibayar kepada ejen di Indonesia.
Tambahnya, tekong dan pembantu tekong serta PATI diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Manakala, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.-airtimes.my
