Home Pertahanan dan Keselamatan Dua bot nelayan tempatan dikendalikan warga asing ditahan

Dua bot nelayan tempatan dikendalikan warga asing ditahan

by Nurulhuda

GEORGETOWN, 12 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan 2 bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada Khamis.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan di kedudukan kira-kira 0.2 batu nautika tenggara Pulau Jerejak, Pulau Pinang sekitar jam 5.40 petang.

Beliau berkata, penahanan itu dilakukan oleh anggota ronda Operasi Pertiwi yang telah mengesan 2 bot nelayan tempatan mencurigakan dalam perjalanan ke sangkar ikan Pulau Jerejak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, bot dikendalikan 4 kru warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.

“Manakala bot kedua tiada nombor pendaftaran dikendalikan 3 warga Nepal termasuk tekong berumur dalam lingkungan 28 hingga 51 tahun,

“Kedua-dua bot disyaki telah melakukan pelbagai kesalahan antaranya bot tiada lesen, lesen bot telah tamat tempoh, tiada permit menggajikan warga asing serta tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abd Razak menjelaskan, kedua-dua kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu lesen bot tamat tempoh, bot tiada lesen yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggajikan warga asing tanpa permit dan tinggal serta berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah.

Tambahnya, kedua-dua buah bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply