Home Semasa Ketua Polis Negara ke Indonesia bincang isu PATI

Ketua Polis Negara ke Indonesia bincang isu PATI

by Bernama

JAKARTA, 26 Jan – Isu pendatang tanpa izin (PATI) menjadi topik utama mesyuarat antara Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan rakan sejawat di Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo pada Selasa.

Dalam pertemuan di ibupejabat polis Indonesia di sini, kedua-dua mereka membincangkan masalah  yang kerap terjadi di kedua-dua negara dan bertekad untuk meningkatkan kerjasama, koordinasi serta komunikasi.

Kewujudan laluan tikus dikenal pasti sebagai faktor utama berlakunya penyeludupan warga Indonesia ke Malaysia.

Sigit berkata berdasarkan data hampir setiap hari ada kes yang melibatkan kemasukan PATI dari Indonesia ke Malaysia atau yang diseludup.

“Kerjasama antara kedua-dua negara perlu bagi memudahkan proses pemantauan dan penyelarasan sekiranya kejadian serupa berlaku pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara lain yang dibincangkan termasuk pengendalian dan kawalan wabak Covid-19 di negara masing-masing terutamanya penyebaran varian Omicron.

Sigit turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia kerana membantu dalam beberapa kes penguatkuasaan undang-undang melibatkan kedua-dua negara.

Acryl Sani juga menjemput Sigit untuk menghadiri pameran Defence Service Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC ASIA) yang akan berlangsung dari 28 hingga 31 Mac 2022 di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply