KUALA LUMPUR, 25 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan trend aktiviti penyeludupan dadah di sempadan negara semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes penyeludupan membabitkan negara jiran bukan perkara baharu dan ia sentiasa dipantau pihak berkuasa.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) ada membuat rampasan dadah di Perlis dan Kelantan pada 18 dan 21 Januari lalu,
“Memang trend penyeludupan dadah meningkat, namun kita berkolaborasi mantap dengan agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PGA di sempadan,
“Isu penyeludupan ini akan berterusan dan tidak akan habis. Penyeludup akan cari kelemahan pegawai untuk membolehkan bahan terlarang dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Selasa.
Ayob Khan turut menjelaskan, seramai 5,200 orang termasuk 76 remaja disyaki penagih dan tokan dadah telah ditahan dalam Op Tapis Khas di seluruh negara sejak Jumaat hingga Ahad lalu.
“Sejak 21 hingga 23 Januari lalu, pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 212.6 kilogram dan 1,199.2 liter yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta,
“Seramai 4,987 lelaki dan 213 wanita ditahan. Daripada jumlah itu seramai 2 remaja berusia 13 tahun dan 74 remaja berusia 14 hingga 18 tahun ditahan,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, sejumlah 367 sarang penagih dadah telah digempur dan dimusnahkan sepanjang operasi ini.
“Polis turut merampas sepucuk pistol revolver.38 serta tiga butir peluru di Perak dan dua laras senapang buatan sendiri serta empat butir peluru di Sarawak dan Negeri Sembilan,
“Kesemua suspek yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2), 6 (Akta Dadah Berbahaya1952), Seksyen 30(3) Akta Racun, dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” jelas Ayob. -airtimes.my