Home Pertahanan dan Keselamatan Pencen: Kewangan majoriti warga dan balu veteran ATM dalam keadaan kritikal

Pencen: Kewangan majoriti warga dan balu veteran ATM dalam keadaan kritikal

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Kadar pencen yang kecil dan minimum telah meletakkan majoriti warga dan balu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam keadaan kritikal dari segi kewangan.

Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, hampir 80 peratus pesara tentera hanya layak terima pencen separuh dari gaji akhir mereka.

“Majoriti veteran ATM tidak berpeluang berkhidmat sehingga 60 tahun serta tidak layak menerima pencen 60 peratus dari gaji akhir mereka,

“Ini kerana ketetapan terma dan syarat perkhidmatan ATM adalah berbeza dengan Perkhidmatan Awam,

“Ekoran daripada itu, majoriti warga dan balu veteran ATM berada dalam keadaan kritikal kerana pencen mereka yang minima,” katanya.

Beliau menegaskan, terma dan syarat perkhidmatan ATM adalah mengikut pangkat dan umur dan majoriti anggota bawahan (Lain-lain Pangkat, LLP) diwajibkan berkhidmat selama 21 tahun untuk layak berpencen.

“Oleh itu, amaun pencen mereka kecil kerana tempoh perkhidmatan yang singkat,

“Perkhidmatan Awam pula dibenarkan bekerja sehingga 60 tahun bagi mendapatkan pencen maksimum sebanyak 60 peratus dari gaji akhir,” jelasnya.

Tambahnya, warga PVATM berharap Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk mengambil peluang bagi memperbaiki skim pencen veteran ATM termasuk penyelarasan pencen yang diperjuangkan semenjak tahun 2015.

Ini terutamanya selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai Pencen Kakitangan Kerajaan pada 13 Januari lalu memutus kenaikan 2 peratus pencen tahun terbatal dan bertentangan dengan Perlembagaan.

“Keputusan ini menarik perhatian 130,485 orang veteran ATM. Secara peribadi, saya berpandangan pelaksanaan kenaikan kadar 2 peratus pencen secara sama rata adalah tidak menepati prinsip keadilan,

“Mereka yang menikmati pencen pada kadar besar akan bertambah senang manakala mereka yang sebaliknya semakin sukar,

“Lama kelamaan jurang perbezaan semakin luas di antara kedua-dua golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengesyorkan MAT untuk berpandukan Bahagian V (Penyelarasan Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) pada Peraturan Angkatan Tetap 1982 untuk menyemak semula isu ini.

“Ia bertujuan untuk menyelaraskan pencen veteran ATM sejajar dengan perubahan skala gaji dari masa ke semasa,

“Ianya termasuk juga menetapkan kadar kenaikan pencen tahunan,” tambahnya.

Sharuddin sekali lagi menjelaskan, veteran ATM menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan MAT bagi menentukan pelarasan pencen yang dibuat serta mengesyorkan kadar kenaikan pencen tahunan yang terbaik untuk warga balu veteran ATM.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply