Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM terbangkan 41ribu kg bahan api ke menara komunikasi Gunung Telapak Burok

TUDM terbangkan 41ribu kg bahan api ke menara komunikasi Gunung Telapak Burok

by Nurulhuda

JELEBU, 19 Jan 22 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan misi penghantaran 41,600 kilogram (kg) bekalan bahan api ke menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) Gunung Telapak Burok, semalam.

Bencana alam yang melanda baru-baru ini telah mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan menyebabkan laluan darat untuk menaiki ke kawasan tersebut telah terputus hubungan.

TUDM dalam kenyataan berkata, helikopter EC 725 AP dari No. 10 Skuadron telah diaturgerakkan bagi membantu menghantar bekalan bahan api ke menara telekomunikasi tersebut.

Menurutnya, operasi selama 2 hari yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No 10 Skuadron, Leftenan Kolonal Muhammad Fazri Md Zin TUDM telah berjaya melaksanakan 13 sortie penerbangan ke kawasan berkenaan.

“Penghantaran udara yang dilaksanakan oleh TUDM ini adalah usahasama di antara Majlis Keselamatan Negara, Platun Hantaran Udara 10 Briged PARA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Telekom Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,

“Komander pesawat bersama 3 orang pembantu juruterbang, 6 orang Kuartermaster Udara, 3 orang anggota juruteknik dan 4 orang anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) telah melaksanakan penerbangan ke Sekolah Kebangsaan Sri Pantai terlebih dahulu iaitu Landing Point (LP) dan Pickup Point bagi tempat pengumpulan bahan api,

“Manakala, seramai 16 anggota TM, 6 anggota Platun Hantaran Udara 10 Briged dan 7 anggota Bomba telah dihantar menggunakan kaedah hoisting ke puncak Gunung Telapak Burok sebagai kumpulan awal bagi penerimaan bahan api tersebut,

“Penghantaran setiap bahan api telah dilaksanakan menggunakan kaedah ‘cargo sling’ ke puncak gunung tersebut yang berketinggian 3,780 kaki dari aras laut,” jelas TUDM.

Tambah TUDM, sebagai organisasi di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut terlibat sebagai barisan hadapan, pihaknya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan bersiap sedia sebilang masa untuk melaksanakan sebarang misi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply