Home Pertahanan dan Keselamatan Kesiagaan ATM antara 8 teras utama hala tuju Kementerian Pertahanan

Kesiagaan ATM antara 8 teras utama hala tuju Kementerian Pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memuktamadkan 8 teras utama baharu menerusi Pelan Tindakan 2022 (PT22) bagi menyelaraskan dasar kementerian itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, teras berkenaan merangkumi kebajikan, kesiagaan dan keupayaan, kompetensi pertahanan, kerjasama awam-tentera, industri pertahanan nasional, kerjasama pertahanan antarabangsa, pemerkasaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kesiagaan terhadap krisis berskala besar.

Menurutnya, teras tersebut adalah hasil cadangan, pandangan dan pertimbangan beliau bersama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta warga kementerian.

“Untuk tahun ini, kita sudah mempunyai perancangan yang rapi di bawah Pelan Tindakan 2022 atau PT22. Saya tahu saudara-saudari tidak kira yang berceloreng hijau, biru, putih mahupun yang memakai baju biasa sebagai warga MINDEF serta pemain industri terbabit secara langsung dalam menggubal PT22 ini,

“Hari ini kelapan-lapan teras berkenaan dimuktamadkan. Kalau saya tidak sebutkan hari ini, saudara-saudari sepatutnya sudah tahu dan berbangga bahawa PT22 adalah hasil buah fikiran, cadangan, pandangan, pertimbangan saya, KSU, PAT dan warga Kementerian Pertahanan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Hishammuddin berkata, selain aspek kebajikan yang sememangnya menjadi agenda utama kementeriannya untuk memelihara moral dan semangat anggota, aspek kesiagaan serta keupayaan Angkatan Tentera Malaysia tidak pernah diabaikan.

Jelasnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) bakal menerima 7 unit Kereta Kebal Pendekar berserta 31 unit Kenderaan Perisai 8X8 Gempita pada bulan ini bagi memperkukuhkan keupayaan TDM,

“Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula, Kapal Misi Pesisir (LMS) RENCONG yang juga LMS keempat negara bakal ditauliahkan pada 28 Januari ini, manakala tiga helikopter Operasi Maritim AW 139 akan diperoleh pada Mac,

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan meningkatkan keupayaan Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) ke atas tiga pesawat CN235-200, meningkatkan keupayaan pesawat F/A18D melalui program Service Life Extension (SLEP) dan meningkatkan keupayaan pesawat Airbus A400M melalui pendekatan Retrofit New SOC 2.5,” tambahnya.

Selain itu, Hishammudin memaklumkan kerajaan sedang meneliti projek-projek yang tergendala di bawah kementeriannya seperti perolehan Littoral Combat Ship (LCS) dan Helikopter MD530G bagi kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen Pelan Pemulihan Projek LCS, mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan pembentangan kepada pelan pemulihan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,

“Saya bersama KSU akan menghadap Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak lama lagi bagi menjelaskan secara terperinci perancangan kita berkaitan LCS. Saya beri jaminan bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan,” jelasnya.

Manakala, kesemua 6 buah MD530G akan berlepas daripada Amerika Syarikat menggunakan jalan laut esok.

“Sebaik sahaja aset ini tiba, saya akan pastikan ia terus dimanfaatkan demi memelihara keselamatan Pantai Timur Sabah,” tegas Hishammuddin. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply