Home Semasa Malaysia di tangga ke-13 dalam senarai pemulihan COVID-19 – Hishammuddin

Malaysia di tangga ke-13 dalam senarai pemulihan COVID-19 – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia ketika ini berada di kedudukan ke-13 berbanding tempat ke-115 pada Ogos tahun lalu dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei (Nikkei’s Covid Recovery Index).

Beliau berkata, kedudukan ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di atas landasan tepat menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik serta langkah penjarakan sosial yang lebih longgar.

“Bagi pihak kerajaan khususnya Menteri-Menteri Kuartet, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan dan rakyat yang cekal, tabah, kuat semangat serta berdisiplin dalam melaksanakan segala usaha demi menangani penularan wabak ini termasuk mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,

“Usaha baik ini mesti berterusan dan kita tidak boleh cepat berpuas hati. Keutamaan kerajaan sekarang ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke fasa ‘Peralihan ke Endemik’. Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, perkara ini dapat dilaksanakan dengan syarat semua pihak mesti kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi SOP, yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak, melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan mengamalkan TRIIS dengan sebaik mungkin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SOP sambutan perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 17 Januari ini dan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini akan diumumkan dalam masa terdekat. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply