Home Politik Rombakan kabinet, belum sampai masanya – Ismail Sabri

Rombakan kabinet, belum sampai masanya – Ismail Sabri

by Air Times News Network

ALOR GAJAH, 4 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan spekulasi mengenai rombakan kabinet yang didakwa 3 menteri bakal digugurkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerajaan kini memberi fokus kepada usaha untuk membantu rakyat yang terjejas dengan banjir dan juga masalah pandemik COVID-19.

“Saya sekarang fokus pasal banjir, kita fokus banjir. Benda-benda lain biarlah, belum lagi. Belum ada apa-apa lagi, tapi banyak spekulasi. Selagi saya tak buat kenyataan, spekulasilah kita anggap,

“Sebab saya nak fokus isu banjir, rakyat tengah susah, lebih baik kita fokus bagaimana hendak membantu rakyat yang susah kerana banjir,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, hari ini.

Katanya, belum sampai masanya untuk melakukan rombakan kabinet dan kini fokus membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Nama-nama tu, macam-macam namalah yang keluar, macam biasalah dulu pun macam tu juga. Saya dah beritahu tadi, fokus saya sekarang ini adalah untuk banjir, jadi saya tak nak bercakap pun soal ada ke tidak ada (rombakan kabinet). Setakat ini selagi saya tak umumkan tak adalah, belum sampai masanya.

“Esok mesyuarat Kabinet. Topik utama yang kita akan bincang dua, yang pertama dari segi banjir, kedua masalah COVID-19. Yang Agak membimbangkan, walaupun kes kita masih lagi di bawah 3,000, tetapi COVID-19 ini nampak gayanya akan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad.

Semalam, tular berita spekulasi Perdana Menteri akan melakukan rombakan kabinet dengan menggugurkan 3 menteri dan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri.

3 nama yang dikaitkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply