Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, BAKASA hulur sumbangan kepada warga tentera, masyarakat terjejas banjir di Kuantan

ATM, BAKASA hulur sumbangan kepada warga tentera, masyarakat terjejas banjir di Kuantan

by Air Times News Network

KUANTAN, 4 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Badan Amal Kasih Sayang Malaysia (BAKASA) menyampaikan sumbangan barangan dari kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada warga tentera dan masyarakat yang terjejas banjir di sekitar Kuantan, hari ini.

Markas ATM dalam kenyataan berkata, sumbangan ini telah disampaikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM, Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Tengku Muhaini Almarhum Sultan Ahmad Shah.

“Sebanyak 320 kotak telah diperuntukkan untuk agihan khusus kepada keluarga warga ATM yang terjejas banjir di sekitar Kuantan,

“Penyerahan sumbangan bagi fasa pertama telah dibuat secara ringkas melalui majlis serahan bantuan yang diadakan di Dewan Indera, Desa Tentera Darat Sungai Panching melibatkan 75 keluarga warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan,” katanya.

Pada 1 Januari lalu, BAKAT ATM telah mengagihkan kotak barangan berupa sumbangan kerajaan UAE bagi fasa satu terdiri daripada telekung, Al-Quran, hygene set, barang kering dapur, beras, minyak masak, 2,000 kit solat dan wang tunai serta alat cucian sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) kepada 13 warga tentera di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.

Menurut Markas ATM, Tengku Muhaini yang juga Penasihat Diraja BAKASA diwakili Yang Dipertua BAKASA, Tengku Datuk Sri Uzir Tengku Ubaidillah, turut menyampaikan agihan sebanyak 500 kotak barangan sumbangan badan amal tersebut kepada Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

“Sumbangan tersebut untuk disalurkan kepada masyarakat awam yang terjejas banjir. Penyerahan awal telah disempurnakan kepada seramai 10 keluarga orang awam yang mewakili masyarakat setempat,” katanya. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply