KUALA LUMPUR, 4 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menunda sebuah kapal yang hanyut dari perairan Vietnam sehingga memasuki perairan Kuala Terengganu, semalam.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal LIMIN ROSMINA milik syarikat Indonesia telah terputus tali tunda semasa menunda kapal WINPOSH RAMPART tanpa kru, sepanjang 72 meter dengan berat 2,588 Gross Tonnage yang dalam perjalanan dari Matak, Indonesia menuju ke Yang Pu, China.
Menurutnya, kedua-dua kapal terbabit berada di dalam perairan Vietnam dan telah terputus tali tunda berikutan cuaca buruk lalu hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.
Mohd Zubil menjelaskan, kapal Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan bagi menanganinya.
“APMM telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal tersebut ke lokasi yang lebih selamat,
“Pasukan Tindakan Khas (PTK) APMM juga telah diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut serta risiko kebarangkalian melanggar pelantar,” tambahnya.
Jelasnya, Kapal Maritim (KM) Jujur dan pesawat AW139 bersama 6 anggota PTK telah diaturgerakkan ke lokasi kapal yang hanyut untuk memberi bantuan.
“Manakala Petronas turut menghantar kapal Icon Lotus dan SK Pilot pada jam sekitar 10.00 pagi tadi bagi memantau serta membantu operasi tersebut,” ujarnya. – airtimes.my