Home Pertahanan dan Keselamatan BAKAT ATM hulur sumbangan UAE kepada anggota tentera terjejas banjir

BAKAT ATM hulur sumbangan UAE kepada anggota tentera terjejas banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyampaikan sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terkesan akibat banjir.

Bahagian Hal Ehwal ATM dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 13 buah rumah anggota pasukan keselamatan itu yang terkesan banjir di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat telah dikunjungi oleh Jemaah Tertinggi BAKAT ATM sekaligus menyuntik semangat moral mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pembungkusan barang sumbangan dari kerajaan UAE telah dilaksanakan pada 30 dan 31 Disember 2021 di Rumah BAKAT ATM di Kem KEMENTAH,

“Sebanyak 2000 bungkusan kit solat telah disediakan oleh BAKAT di samping barangan sumbangan UAE yang terdiri daripada telekung, Al-Quran, hygene set, barang kering dapur, beras dan minyak serta alat cucian sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera,” jelas ATM dalam kenyataan, semalam.

700 anggota tentera yang terkesan banjir bakal menerima barangan sumbangan berupa bungkusan kit solat yang disediakan oleh BAKAT di samping barangan sumbangan UAE terdiri daripada telekung, al-Quran, set kebersihan, barang kering dapur, beras dan minyak serta alat cucian.

Menyahut konsep Keluarga Malaysia, BAKAT ATM turut menyampaikan bantuan kepada beberapa keluarga orang awam yang ditimpa musibah banjir di Hulu Langat, Kampung Bukit Lanchung dan Rantau Panjang, Klang.

Dalam masa yang sama, ATM menyatakan, program bantuan berkenaan akan diteruskan di Temerloh dan Mentakab, Pahang dengan tumpuan diberikan kepada anggota di Kem Batu 3, Temerloh.

Khamis lepas, UAE menyerahkan bantuan itu dan simbolik penyampaian sumbangan telah diadakan di Wisma Perwira ATM melalui dutanya di Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply