Home Pertahanan dan Keselamatan Banjir: Penglibatan ATM dalam operasi menyelamat dipertingkat – Hishammuddin

Banjir: Penglibatan ATM dalam operasi menyelamat dipertingkat – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus diaturgerakkan bersama-sama agensi berkaitan dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ATM juga sentiasa siapsiaga memperluaskan operasi bantuan menyelamat ini termasuk di kawasan-kawasan yang berpotensi terjejas teruk.

Beliau berkata, anggota ATM telah berada di lapangan sejak Sabtu lalu bersama agensi-agensi lain bagi memastikan operasi menyelamatkan mangsa berjalan dengan lancar.

“Anggota ATM telah berada di lapangan selama 48 jam tanpa henti. Berganding bahu dan berkongsi kepakaran bersama petugas Agensi Pengurusan Bencana (NADMA), Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia KKM) serta semua agensi berkaitan demi memastikan operasi banjir berjalan lancar,

“Saya beri jaminan, penglibatan ATM tidak akan dikendurkan. Sebaliknya operasi akan terus ditingkatkan dari masa ke masa mengikut keperluan,” jelasnya menerusi hantaran di media sosialnya pada Ahad.

Hishammuddin turut berkongsi beberapa gambar operasi banjir yang disertai anggota ATM di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam.

Beliau turut berkongsi perkembangan operasi di Dengkil, dimana, anggota dan aset dari Markas Briged Ke-11 Infantri Malaysia (11 Briged) telah berada di kawasan terjejas sejak semalam demi membawa keluar mangsa banjir yang terkandas.

Sejak Sabtu, anggota ATM juga telah diaturgerakkan di lokasi yang terjejas akibat banjir selain di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 1 diaturgerakkan bagi misi bantuan menyelamat mangsa banjir di kawasan perkampungan Kampung Garuda Sri Damai, Batu 10 bermula awal pagi tadi (Ahad),

“TLDM bersama agensi awam yang lain sentiasa bersiap sedia untuk diaturgerakkan pada bila-bila masa,

“Selain itu, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 RAMD) Mekanize (MEK) turut telah diaturgerak ke beberapa kawasan di Kuantan sejak tengahari tadi,

“Tidak hanya membantu memindahkan mangsa banjir yang terkandas, mereka turut berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengagihkan makanan serta barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir,” jelas Hishammuddin.

Sehingga semalam, sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

“Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak 6 negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply