Home Semasa Banjir: Agong turun padang lawat mangsa di PPS

Banjir: Agong turun padang lawat mangsa di PPS

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 19 Dis – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat musibah banjir susulan hujan lebat yang melanda sejak Jumaat lalu.

Istana Negara dalam hantaran di media sosial rasmi menjelaskan, Baginda turut menasihati rakyat supaya mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini (Disember) dan Januari,

“Bagainda turut menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah-khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir,” jelas hantaran itu.

Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli turun padang membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di PPS di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, pagi tadi.

“Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir satu jam dari jam 11.15 pagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut,

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas,

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat Baginda tanpa mengira masa, tempat dan cuaca,

“Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di 4 lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, SRJK Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields,” tambahnya.

Lewat malam tadi, Baginda juga berkenan berangkat meninjau situasi banjir di jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Sultan Abdullah telah berkenan menuruni kenderaan dalam keadaan hujan di jalan susur menghala ke PWTC dan meredah air banjir bagi melihat sendiri situasi di sekitar kawasan tersebut,

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat tanpa mengira tempat, masa dan cuaca,” jelas Istana Negara. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply