Home Pertahanan dan Keselamatan Bot nelayan upah PATI Myanmar ditahan

Bot nelayan upah PATI Myanmar ditahan

by Nurulhuda

KUALA KURAU, 15 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca bersama 2 nelayan tempatan dan 2 kru warga Myanmar pada jarak kira-kira 4.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, lebih kurang Jam 4.30 petang, pada Selasa.

Pengarah APMM Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, penahanan dibuat semasa rondaan rutin, bot peronda yang mengesan sebuah bot gentian kaca bergerak dalam keadaan mencurigakan dan diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, seramai 4 orang suspek berada di dalam bot tersebut, 2 daripada suspek merupakan nelayan tempatan manakala selebihnya kru warga asing.

Tambahnya, kesemua mereka berumur lingkungan 19 hingga 54 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek kru warga asing tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” jelasnya.

Mohd Sharenliza menjelaskan, kesemua suspek, bot dan peralatan yang berada di dalam bot telah ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk disiasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk atau tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen vesel perikanan,

“Menggaji kru warga asing adalah satu kesalahan dan boleh disiasat serta didakwa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM 10,000.00 dan tidak lebih RM 50,000.00 untuk setiap seorang PATI atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan golongan nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

“APMM akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut. Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada pasukan keselamatan bagi mengekang jenayah rentas sempadan,” ujarnya. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply