Home Pertahanan dan Keselamatan Pendekatan Malaysia dalam FPDA tidak ada kaitan dengan AUKUS – Hishammuddin

Pendekatan Malaysia dalam FPDA tidak ada kaitan dengan AUKUS – Hishammuddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan pendekatan Malaysia dalam Aturan Kuasa Pertahanan Lima (FPDA) tidak mempunyai kaitan langsung dengan kewujudan kerjasama AUKUS.

Beliau menyatakan perkara demikian semasa sesi Waktu Soalan-soalan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hishammuddin menjelaskan Australia dan United Kingdom (UK) telah memberi penerangan mengenai perancangan mereka mengenai AUKUS semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan FPDA ke-11, baru-baru ini.

Tegasnya, Malaysia masih mengekalkan pendirian mengenai AUKUS.

“Pendirian Malaysia adalah jelas. Kita tidak berganjak,” katanya.

AUKUS merupakan kerjasama yang ditubuhkan secara bersama oleh Australia, UK dan Amerika Syarikat pada pertengahan September lalu.

Pada 12 Oktober lalu, Menteri Kanan Pertahanan telah menyatakan pendirian Malaysia selepas berjumpa dengan Utusan Khas dari Australia berhubung penubuhan kerjasama tiga negara itu.

“Saya mengingatkan kepada Menteri Pertahanan dan Utusan Khas Australia bahawa semua pihak harus menghindari daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif atau berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik,

“Saya turut menekankan bahawa pendirian Malaysia tidak akan berganjak iaitu sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian perlu ditangani, konsisten dan jelas menerusi dialog dan jalan perundingan,” jelasnya.

Malaysia merupakan salah sebuah negara anggota FPDA bersama Singapura, Australia, New Zealand dan UK. Kerjasama pertahanan kelima-lima negara ini ditubuhkan semenjak 1971. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply