Home Semasa COVID-19: Malaysia semakin pulih, rakyat sedia masuki fasa endemik – KP Kesihatan

COVID-19: Malaysia semakin pulih, rakyat sedia masuki fasa endemik – KP Kesihatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Penurunan purata kes harian, jumlah kluster dan kapasiti hospital semenjak kebelakangan ini menunjukkan situasi penularan COVID-19 di negara ini semakin pulih.

Ketua Pengarah Noor Hisham menyatakan perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Antara aspek lain yang diambil kira adalah kadar vaksinasi di kalangan rakyat Malaysia.

“Situasi ini sedikit sebanyak menunjukkan kesediaan negara serta masyarakat memasuki fasa endemik,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend jangkitan COVID-19 di negara ini semakin menurun.

“Laporan Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 menunjukkan sebanyak 63,722 kes dilaporkan berbanding 83,368 pada ME-ke-39,

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 23.6 peratus,” katanya.

Jelasnya, penurunan bilangan kes adalah konsisten semenjak 6 minggu lalu. Selain daripada itu, kes aktif pada ME ke-40 adalah sebanyak 133,806 kes, 21 peratus lebih rendah dari ME ke-39.

Selain daripada itu, Noor Hisham turut menyatakan trend penurunan dapat dilihat pada kadar kes kematian, kes rawatan di Unit Rawatan Rapi dan juga bilangan kes pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa yang sama, nilai R-Naught (Rt) menurun sebanyak 0.2 peratus pada setiap hari.

Sementara itu, bilangan kluster aktif turut menurun kepada 79 kluster, kurang 21 kluster daripada minggu sebelumnya.

“43 kluster merangkumi tempat kerja, 25 komuniti, 6 kluster berisiko tinggi dan 5 kluster keagamaan,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Noor Hisham menjelaskan seramai 65.2 peratus keseluruhan penduduk dan 90 peratus populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Selain daripada itu, Ketua Pengarah Kesihatan turut mengingatkan segenap lapisan masyarakat untuk terus berjaga-jaga dan tidak leka serta cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan COVID-19 dalam negara.

“Kita wajar ambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes secara mendadak sebelum sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,

“Semua pihak memainkan peranan penting bagi memutuskan rantaian COVID-19 melalui inisiatif reopening safely,” katanya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 6,709 kes jangkitan baharu COVID-19 dan 10,833 kes sembuh. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply