Home Pertahanan dan Keselamatan Penjualan data rakyat Malaysia: Siasatan segera dilancarkan – Hamzah

Penjualan data rakyat Malaysia: Siasatan segera dilancarkan – Hamzah

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini menegaskan satu siasatan menyeluruh akan dilancarkan berhubung penjualan data 4 juta rakyat Malaysia di sebuah forum luar negara.

Beliau dalam satu kenyataan berkata,  satu perbincangan bersama National Cyber Coordination And Command Centre (NC4) NACSA dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah diadakan.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah isu-isu serta kaedah perkongsian myIDENTITY dengan pihak LHDN serta kawalan keselamatan terhadap data berkaitan,

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah membuat satu laporan polis pada 27 September bagi membolehkan siasatan segera dijalankan,

“JPN turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam,” katanya.

Semalam, seorang pengguna forum luar negara mendakwa beliau menjual data 4 juta rakyat Malaysia yang berjaya diambil melalui sistem myIDENTITY.

Fail tersebut dijual pada harga 0.2 BTC (bitcoin), bersama RM35,495.

Menurut Hamzah, JPN berkongsi perkhidmatan Sistem myIDENTITY dengan beberapa agensi Kerajaan bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berurusan di agensi masing-masing.

“Siasatan dalaman telah dilancarkan dan mendapati tiada kebocoran data berlaku dalam sistem di JPN.

“Malah, JPN juga mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini,” kata Hamzah.

Tegasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin dan selamat.

“KDN juga akan memastikan semua agensi yang menggunakan data myIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan sentiasa mematuhi Polisi Penggunaan myIDENTITY,

“Ini bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply