Home Pertahanan dan Keselamatan 3 hari berada di laut, akhirnya 34 PATI dicekup Polis Marin

3 hari berada di laut, akhirnya 34 PATI dicekup Polis Marin

by Nurulhuda

KUALA SELANGOR, 7 Sept – Pasukan Polis Marin (PPM) telah berjaya menahan 34 individu pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan Myanmar di perairan laut Jeram dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kehadiran bot yang membawa PATI di perairan laut Pulau Angsa pada jam 2.45 pagi.

Beliau berkata, 2 buah bot ronda telah ke lokasi untuk mengesan dan membuat pintasan ke atas bot tersebut.

“Pada jam 3.15 pagi, bot asing itu telah berjaya dikesan di kawasan perairan laut Jeram pada jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari pantai,

“Kita berjaya menahan bot tersebut setelah 15 minit mengejarnya dan ketika ditahan bot itu bergerak tanpa dikemudikan disyaki tekongnya telah terjun ke laut semasa menyedari kehadiran bot ronda PPM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, mendapati seramai 34 PATI terdiri daripada 32 warga Indonesia dan 2 warga Myanmar termasuk 17 wanita berada di dalam bot tersebut.

“Siasatan awal mendapati kesemua PATI itu telah berada di laut selama 3 hari sebelum masuk ke pesisir pantai Selangor,

“Bot dan kesemua PATI telah ditahan serta diiring ke jeti PPM Selangor untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1985 atas kesalahan memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?