Home Semasa Ajaran sesat PMYT: Sittah Annur direman 4 hari

Ajaran sesat PMYT: Sittah Annur direman 4 hari

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur ditahan pihak polis dan direman selama 4 hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Permohonan tahanan reman terhadap wanita berasal dari Kelantan itu dibenarkan Majistret Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihak polis telah melakukan serbuan ke atas suspek yang berusia 39 tahun itu di rumahnya di Shah Alam pada pukul 1.10 pagi tadi.

“Suspek sebelum ini ada membuat laporan polis menafi dan menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan serta ajaran bertentangan dengan ajaran Islam,

“Malah, suspek turut menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Basri, polis merampas 5 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan berjumlah RM84,721.42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan suspek semasa membuat siaran langsung Facebook.

Beliau, mengesahkan penahanan wanita itu dan kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pada pukul 1.10 pagi tadi Inspektor D9 bersama sepasukan anggota dari Cawangan D9 IPD Brickfields, KL telah pergi ke alamat di Jalan Tanjung Keramat 26/35 HICOM Industrial Estate, Shah Alam, Selangor sebelum membuat tangkapan ke atas suspek satu perempuan tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan,” ujarnya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

Menurut beliau, siasatan itu menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun Youtube Cahaya Islam dan Sittah Annur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari lalu.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply