KOTA TINGGI, 22 Ogos – Seorang bekas penjawat awam antara 2 tekong yang ditahan dalam Operasi Seludup (Op Seludup) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana menyeludup 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu telah menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun bersama seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun sebagai dalang.
“Pasukan operasi mendapat maklumat sekumpulan migran diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat antara jam 3 pagi hingga 5 pagi. Pasukan operasi berjaya memintas kenderaan yang membawa migran tersebut.
“Anggota JIM dengan bantuan ATM telah berjaya memintas 3 buah kenderaan yang membawa 18 orang PATI,
“2 orang tekong ditahan melibatkan seorang lelaki bekas penjawat awam berusia 33 tahun dan warganegara Indonesia berusia 35 tahun manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Dzaimee, sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Modus operandi sindiket ialah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar negeri Johor,
“Tekong darat akan menyediakan pengangkutan sebelum diagihkan kepada majikan,
“Caj yang dikenakan oleh sindiket kepada migran untuk diseludup masuk ke Malaysia adalah antara RM800 hingga RM1,500 seorang,” tambahnya.
Dzaimee berkata, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan untuk membawa PATI tersebut turut disita dan dianggarkan bernilai sekitar RM130,000.
Tambah beliau, kesemua 18 orang migran yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah.
Manakala, kedua-dua tekong tersebut pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran.
“Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya. Kesemua mereka kini ditahan reman,” ujarnya. -airtimes.my