Home Semasa Vaksinasi lengkap: Pasangan jarak jauh boleh rentas daerah, negeri

Vaksinasi lengkap: Pasangan jarak jauh boleh rentas daerah, negeri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pasangan suami isteri jarak jauh yang telah melengkapkan dos suntikan vaksin (2 dos vaksin) dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing mulai Selasa ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran tersebut merupakan kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muhyiddin berkata, kemudahan tersebut termasuklah, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap (2 dos vaksin).

Menurutnya, kesemua mereka dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Selain itu, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap turut dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

“Keputusan pemberian kemudahan ini semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian. Namun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara,

“Penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus COVID-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif COVID-19 sebanyak 50 peratus,

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan Kuarantin dan Perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam PPN,” katanya dalam perutusan Khas mengenai Kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju aktiviti solat dibenarkan di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Pihak masjid dan surau perlu pastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat,

“Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat mesti menunjukkan kepada petugas masjid dan surau sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,

“Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply