Home Politik Tarik balik sokongan: Tindakan UMNO tidak selari dengan semangat Muafakat Nasional

Tarik balik sokongan: Tindakan UMNO tidak selari dengan semangat Muafakat Nasional

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Tindakan UMNO yang mengumumkan penarikan balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri amat mendukacitakan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut juga tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub di dalam Piagam Muafakat Nasional.

“PAS melahirkan rasa dukacita dengan langkah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang bertindak mengarahkan Ahli Parlimen UMNO menarik diri daripada kerajaan PN,

“Walau bagaimanapun, PAS kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Selasa, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, surat akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan telah mempersembahkan Surat Akuan tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai lanjutan warkah terdahulu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply