Home Pertahanan dan Keselamatan APMM patahkan cubaan seludup rokok bernilai RM15 ribu di Semporna

APMM patahkan cubaan seludup rokok bernilai RM15 ribu di Semporna

by Nurulhuda

SEMPORNA, 4 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna mematahkan cubaan menyeludup rokok bebas cukai anggaran RM 15,290 di perairan Pulau Sisipan, pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot ronda APMM yang sedang dalam penugasan Operasi Pluto Timur telah mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 10.15 malam.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke arah hutan bakau berdekatan,

“Pemeriksaan ke atas bot enjin sangkut yang ditinggalkan suspek mendapati 3 bungkusan kotak besar berisi rokok pelbagai jenama dan dianggarkan bernilai RM15,290.00

“Dipercayai rokok tersebut diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM, malam tadi.

Norrimi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan serta menjejak suspek berkenaan yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok di Semporna berdasarkan barang yang dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarkan bernilai RM21,790.00.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 bagi kesalahan penyeludupan rokok,

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100 ribu atau yang mana satu amaun yang lebih tinggi atau dipenjarakan selama 3 tahun,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Norrimi menjelaskan, pihaknya akan terus memperkasakan rondaan dan penguatakuasaan di sekitar kawasan ‘hot spots’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara untuk membanteras penyeludupan serta kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut.

“APMM menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply